BERITA HARIAN

PERISIAN JAWI RCS TAK GUNA PAPAN KEKUNCI DWI BAHASA
Ramadhan Consultancy Services Sdn Bhd (RCSSB), menghasilkan perisian tulisan Jawi, Jawi RCS versi kelima dengan tujuan memberi kemudahan kepada penggemar dan pengguna tulisan Jawi untuk memanfaatkannya.
Pengurus RCSSB, Hayati Kamisman berkata, perisian ini sudah diuji keberkesanannya melalui latihan serta kursus yang diadakan sekitar negeri Melaka, membabitkan 50,000 pelajar sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka.
"Operasi Jawi RCS V.5 menggunakan sistem operasi Windows tanpa memerlukan Windows dalam bentuk tulisan Arab selaian menyediakan tiga bentuk teks Rumi, Jawi dan Arab dalam bentuk aplikasi mudah tanpa menggunakan papan kekunci dwi bahasa.
"Fungsi dan operasi Jawi RCS V.5 menggunakan perkakasan Microsoft Office Words yang sedia ada tanpa mengubah apa-apa arahan. Jawi RCS V.5 juga boleh digunakan di dalam aplikasi lain seperti PowerPoint, Publisher, Excel dan aplikasi Microsoft Office lain," katanya pada satu kenyataan kepada akhbar yang dikeluarkan di Melaka baru-baru ini.
Perisian yang dibangunkan RCS ini mempunyai ciri istimewa yang dapat menarik minat pengguna mendalami seni penulisan Jawi secara kreatif. Ciri yang terdapat pada penulisan ini adalah hasil penyelidikan dan pemerhatian yang dibuat melalui latihan yang dilakukan RCS.
Perisian ini juga menyediakan Kamus Ejaan Jawi yang berguna sebagai rujukan pengguna untuk membantu memastikan ketepatan ejaan. Pengguna juga boleh membuat pilihan pelbagai jenis khat yang disukai. Ini kerana perisian terbabit menyediakan 13 jenis khat 'font' yang menarik dan berkualiti berdasarkan standard yang diperakui.
Antara keistimewaan yang terdapat pada Jawi RCS V.5 ini adalah, semua huruf Jawi menyerupai sebutan Rumi (transliterasi fonetik) oleh itu pengguna tidak perlu menukar papan kekunci dwi bahasa untuk menggunakan perisian ini. Melalui perisian ini, sesiapa sahaja mampu menulis Jawi dengan baik serta mempelbagaikan khatnya.
Selain itu, Jawi RCS V.5 membenarkan penulisan teks Jawi, Rumi dan Arab dengan menggunakan papan kekunci biasa dan menjimatkan kos selain mewujudkan 2 aplikasi dalam satu PC.
Harga yang ditawarkan adalah RM88 untuk setiap unit. Bagi yang berminat untuk mendapatkan perisian ini bolehlah mendapatkannya terus daripada Ramadhan Consultancy Services Sdn Bhd atau layari di alamat www.jawi.com.my.

